TANJUNG MANIS, 1 Ogos: Lima penghuni hilang tempat berteduh selepas dua kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Belawai, di sini hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Tanjung Manis, Lt (PA) MD. Azan Sadie berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.03 pagi sebelum mengarahkan enam anggota ke lokasi untuk operasi bantuan.
“Kita difahamkan ketika kejadian hanya seorang penghuni berada di dalam sebuah itu manakala sebuah lagi kosong kerana penghuninya berada di pantai.
“Kejadian ini mengakibatkan kedua-dua buah rumah musnah,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Menurut Azan, insiden itu disedari penduduk kampung sebelum menghubungi pasukan keselamatan untuk mendapatkan bantuan.
“Kita juga difahamkan, salah seorang mangsa sempat keluar daripada rumah itu untuk menyelamatkan diri. Ketika ini operasi pemadaman masih dilakukan pihak bomba,” katanya.
Azan menambah tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu.
Selain Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), operasi turut dibantu polis, pegawai kebajikan dan Sarawak Energy. – TVS