MIRI, 1 Ogos: Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) menyediakan peluang dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran menerusi kerjasama di antara institusi pengajian tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata sasaran adalah untuk melaksanakan lapan program latihan dengan penyertaan sekurang-kurangnya dua negara anggota.
“Seperti yang kita sedia maklum, pendidikan adalah medium yang berkuasa untuk pemerkasaan dan kemajuan.
“Ia melengkapkan belia kita dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk mengemudi dunia yang sentiasa berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis
pada Majlis Makan Malam bersempena Mesyuarat Kluster Sosiobudaya dan Pendidikan BIMP-EAGA kali ke-9, di sini malam tadi.
Roland berkata lagi, menerusi kerjasama dalam pendidikan ia dapat memastikan generasi akan datang bersedia untuk memimpin dan menyumbang kepada pembangunan mampan dalam wilayah masing-masing.
Dalam pada itu katanya, Sarawak berhasrat untuk menjadi wilayah “hijau” yang menjana tenaga boleh diperbaharui bersih.
Matlamat ini bergantung kepada penyediaan pendidikan berkualiti kepada belia yang mengikuti kursus berkaitan teknologi. – TVS