KUCHING, 31 Julai: Bintang K-pop dari Korea Selatan, Rain dan penyanyi terkenal dari Indonesia antara barisan artis yang bakal menggegarkan pentas Festival Muzik Borneo Sonic (BSMF) yang berlangsung di Stadium Sarawak pada 11 dan 12 Oktober ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival itu bertambah seri dengan kehadiran artis K-pop, Jessi dan Bunga Citra Lestari dari Indonesia.
Ia turut mempersembahka Dolla, Jess Lee Jia Wei, Priscilla Abby, Dj Ujoo, Junny, Thomas, Dj Blink, Jess Le, Slumberjack dan Sed.X.
Menurutnya, sepanjang BSMF, turut diadakan ‘Borneo Sonic Food Carnival’ di Dataran Stadium dengan 50 gerai makanan dan minuman serta 20 gerai yang menawarkan barang-barang seni dan kraf.
“Dibuka dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada 9-12 Oktober 2024, para hadirin boleh menikmati persembahan muzik, permainan, pemberian hadiah, dan banyak lagi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Festival tahun ini dijangka dihadiri 36, 000 peminat muzik dari seluruh dunia. Acara ini dianjurkan BME International Sdn Bhd, diuruskan Place Borneo Sdn Bhd dan disokong Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Tidak kurang menariknya, penganjur turut menyediakan perkhemahan BSMF 2024 di Padang Bola Sepak D (Padang D) menawarkan pengalaman unik yang terletak kira-kira 200 meter dari Stadium Sarawak dan Food Carnival.
Untuk penggemar kecergasan dan pencinta muzik, ‘Borneo Sonic Music Run’ turut diadakan dengan sasaran 1,000 peserta dan akan berlangsung di Stadium Sarawak pada 12 Oktober, bermula 7 pagi dan meliputi laluan tiga kilometer.
Untuk maklumat lanjut, termasuk harga tiket dan kemas kini acara, ikuti BSMF2024 di Instagram @borneosonic.mf atau layari laman web rasmi di https://www.borneosonic.com. – TVS