KUALA LUMPUR, 31 Julai: Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2026, kata Datuk Ahmad Maslan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, status kemajuan semasa projek itu mencapai 76.0 peratus.
Kata Ahmad, sebanyak 15 pakej LPB Sabah Fasa 1A telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) dan empat pakej kerja telah siap.
“Baki 11 pakej lagi sedang dalam peringkat pembinaan.
“Antara pakej kerja yang telah siap ialah Pakej Kerja 5 iaitu Donggongon ke Papar, Pakej Kerja 27 melibatkan Kampung Lot M ke Batu 32, Sandakan pada 18 November 2022, Pakej Kerja 15 dari Tawau ke Semporna pada 10 Ogos 2023 dan Pakej Kerja 21: Lahad Datu Bypass,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Senator Tan Sri Panglima Anifah Aman.
Jelas Ahmad lagi, pelaksanaan projek LPB Sabah adalah melibatkan menaik taraf jalan raya sedia ada dan pembinaan jalan baharu.
“Langkah awal juga telah diambil semasa peringkat rekabentuk dengan kerjasama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS) dalam mengenal pasti kaedah mitigasi jangka sederhana dan jangka panjang kesan pelaksanaan Projek LPB Sabah,” katanya. -TVS.