PARIS, 31 Julai: Pemanah recurve negara Ariana Nur Diana Mohamad Zairi hampir mengejutkan juara dunia 2022 Chiara Rebagliati dari Itali dalam pusingan penyingkiran 1/32 individu wanita di Sukan Olimpik Paris 2024, sebelum tewas 5-6 melalui ‘shoot-off’.
Atlet berusia 19 tahun dalam penampilan sulungnya itu bermula dengan baik pada set pertama apabila seri 27-27 pada set pertama sebelum memenangi set kedua 25-24 untuk mendahului 3-1 di Invalides.
Ketika saingan semakin sengit di bawah cuaca panas terik mencecah 30 darjah celsius, pemanah Itali itu mula mendapatkan mata hampir sempurna untuk memenangi dua set seterusnya 28-27, 29-27 untuk mendahului 5-3.
Kedua-dua pemanah memulakan set kelima dengan panahan sempurna 10-10 dan kemudiannya mencatat 9-9, tetapi Ariana Nur Diana kemudiannya berjaya melakukan panahan tepat untuk mendapat 10 manakala Rebagliati hanya peroleh 8 untuk kemenangan 29-27 bagi menyamakan kedudukan 5-5.
Dengan pemenang perlu ditentukan melalui ‘shoot-off’, pemanah Itali itu mara ke pusingan penyingkiran 1/16 selepas melakukan panahan tepat untuk mendapat 10, manakala Ariana Nur Diana melakukan 9. -TVS