KUCHING, 31 Julai: Sebarang penggunaan logo dan maskot SUKMA XXI Sarawak 2024 tidak boleh dicetak atau diguna pakai oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran Sarawak Multimedia Authority (SMA) yang memegang hak cipta.
Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, logo dan maskot itu telah didaftarkan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
“Penganjur ada hak terhadap logo dan sebagainya yang tidak dapat dicetak, digunakan kecuali kebenaran telah diberikan.
“Harapan kita kepada orang luar sana, jangan ciplak ataupun membuat barang dagangan sendiri dan membuat keuntungan. Kalau mahu, minta kebenaran daripada pihak penganjur dahulu,” katanya pada sidang media Festival Music Borneo Sonic di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata lagi, media yang berdaftar tidak perlu meminta kebenaran untuk menggunakan logo tersebut.
Menurutnya, media memainkan peranan dalam mempromosi dan menyampaikan maklumat mengenai SUKMA.
“Kita menyokong media untuk mempromosikan SUKMA dan bukan mengikat mereka kerana apabila media meletakkan logo, maskot gambar dan sebagainya sedikit sebanyak anda mempromosikan SUKMA,” katanya.