LIMBANG, 31 Julai: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) melaksana lebih 30 projek infrastruktur di bahagian Limbang termasuk di Lawas dengan peruntukan lebih RM10 bilion tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Aidel Lariwoo berkata banyak projek infrastruktur yang ditumpukan di utara Sarawak membabitkan bahagian Limbang.
Pelaksanaan projek dilakukan mengikut fasa sejajar dengan agenda kementeriannya untuk menyiapkan keseluruhan projek infrastruktur menjelang pertengahan Rancangan Malaysia Ke-13 dan sebelum pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melakukan lawatan kerja ke projek pembinaan Jambatan Sungai Limbang di sini, hari ini.
Aidel berkata kementeriannya bersama agensi kerajaan berkaitan sentiasa turun padang memantau bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Bagi projek pembinaan Jambatan Sungai Limbang katanya ia mencapai 74 peratus dan berlaku sedikit kelewatan dan dijangka siap penghujung tahun hadapan.
Projek berkenaan bukan saja mampu menghubung Limbang dengan Brunei malah dapat memacu pembangunan penduduk yang mendiami kawasan di seberang sungai Limbang.
Bagi Projek Kompleks Kerajaan Negeri (IAC) Limbang bernilai RM157 juta kini mencapai 44 peratus pembinaan yang dijangka siap Julai tahun depan.
Jelasnya projek itu akan menjadi satu lagi mercu tanda baharu Limbang dan menghimpunkan 15 agensi kerajaan Sarawak. – TVS.