KUALA LUMPUR, 31 Julai: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan panduan penulisan dan pelaporan media yang selamat dan bertanggungjawab tentang tingkah laku bunuh diri pada Ogos ini.
Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ia untuk mengelakkan pesakit yang mempunyai kesihatan mental menerima mesej yang salah, seterusnya menjurus kepada idea untuk membunuh diri.
“Apabila berlakunya kejadian bunuh diri (yang) dilaporkan di media massa, penulisan perlulah mengikut garis panduan yang telah diperkenalkan.
“Dari situ, kita dapat lihat penulisan yang selamat dan bertanggungjawan dapat membantu pesakit yang mempunyai kesalahan mental mengelak dari mendapatkan idea untuk membunuh diri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Nelson W Angang di Dewan Negara hari ini.
Lukanisman menambah, KKM turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melakukan saringan kesihatan kepada pelajar sekolah bagi menghapuskan stigma masalah tersebut.
Inisiatif itu jelas beliau memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk keluarga, wakil rakyat dan masyarakat.
Dalam pada itu Lukanisman memaklumkan, sebanyak 51,275 panggilan diterima sejak talian bantuan krisis kesihatan mental (Talian HEAL 15555) setakat 20 Julai 2024, di mana terdapat 317 kes tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri.
“Daripada jumlah ini, 183 kes idea bunuh diri telah diberikan intervensi dan 134 kes cubaan bunuh diri telah dirujuk dengan mengaktifkan MERS999 dan mendapat kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kecemasan, KKM,” katanya. – TVS