PARIS, 30 Julai: Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah telah mempamerkan ‘taring’ sebenar mereka untuk mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024, di Porte de La Chapelle Arena di sini.
Jurulatih mereka Hoon Thien How berkata beregu di ranking ke-13 itu berjaya melepasi kumpulan ‘maut’ yang dibarisi oleh tiga beregu dalam kelompok 10 terbaik dunia, menerusi aksi cemerlang mereka.
Pearly-Thinaah yang tewas kepada juara dunia empat kali dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam aksi pertama Kumpulan A pada Sabtu, bangkit untuk menewaskan juara dunia dua kali Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun pada Ahad.
Dalam misi mesti menang menentang pasangan nombor sembilan dunia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti hari ini, Pearly-Thinaah mengejutkan beregu Indonesia itu 21-18, 21-9, untuk mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir.
“Berdasarkan penilaian tiga aksi ini, walaupun mereka kalah aksi pertama, sebenarnya prestasi mereka bagus berbanding sebelum ini. Saya lihat tiga aksi ini mereka memang boleh main perlawanan mereka yang sebenar.
“Dalam kejohanan ini, kita nampak kombinasi mereka bagus. Mereka juga saling memberikan motivasi dan semangat antara satu sama lain, sepanjang perlawanan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata mereka akan mempersiapkan diri untuk menghadapi pusingan suku akhir bermula Khamis ini, yang sudah pastinya lebih mencabar.
Undian bagi pusingan kalah mati akan diadakan selepas semua aksi peringkat kumpulan selesai malam ini. – TVS