LAWAS, 30 Julai: Pembinaan Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC) Jabatan Kerajaan Sarawak Lawas berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Infrasturktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Aidel Lariwoo berkata projek itu mencapai kemajuan sebanyak 52 peratus setakat 30 Julai ini dan mampu disiapkan sepenuhnya pada Julai 2025.
Beliau yang berpuas hati dengan perkembangan positif itu berkata ia merupakan usaha pemaju mengandakan kerja untuk mencapai status terbaik ketika ini.
“Beberapa isu yang menyumbang kepada kelewatan projek selepas COVID-19 dahulu telah dapat diatasi dengan cekap oleh pemaju,” katanya semasa lawatan kerja ke tapak projek IAC hari ini.
Beliau berkata bangunan setinggi 15 tingkat itu bakal menempatkan pejabat jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Bangunan berkenaan akan dilengkapi kemudahan moden, kemudahan tempat letak kenderaan dan laluan jalan raya yang akan dinaik taraf.
“Ia akan menempatkan lebih kurang 15 agensi dan jabatan kerajaan negeri dan jangkaan kita semua pegawai atau kakitangan kerajaan yang akan menduduki bangunan ini nanti adalah seramai 700 orang,” katanya. – TVS