KUCHING, 30 Julai: Penyalahgunaan dadah di Sarawak masih terkawal berkat usaha bersepadu semua pihak dalam membanteras masalah berkenaan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak berada di kelompok negeri rendah penyalahgunaan dadah.
“Walaupun kita kadang-kadang dengar tangkapan dadah dan sebagainya, tapi kalau dibandingkan dengan negeri-negeri lain, masalah kita ini agak terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di sini, hari ini.
Abdul Karim juga menekankan peranan penting dimainkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam membanteras najis dadah.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Sarawak bersedia menanggung kos tambahan bagi menambah bilangan anjing pengesan dadah di negeri ini.
“Kerajaan negeri ada membuat tawaran supaya anjing ini ditambah dengan kerajaan negeri yang mengeluarkan kos,” katanya.