KUCHING, 30 Julai: Kerja-kerja menaik taraf prasarana di sekitar Taman Negara Gua Niah, termasuk kemudahan asas di Pekan Niah sedang dijalankan untuk memberikan pengalaman yang lebih menarik kepada pengunjung di kawasan ekopelancongan tersebut.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata dengan pengiktirafannya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO baru-baru ini, Gua Niah akan menjadi produk pelancongan yang lebih gah di mata pelancong asing.
“Implikasinya amat besar sekali terutama dari perspektif pelancongan kerana Gua Niah kita sedia maklum, daripada penyelidikan pakar-pakar di universiti, termasuk yang baru daripada New South Wales University.
“Kalau dahulu kita dimaklumkan bahawa penempatan manusia di Niah adalah 40,000 tahun sahaja, tapi penemuan terbaru daripada New South Wales, menunjukkan penempatan manusia di situ adalah sehingga 65,000 tahun. Inilah yang membuat Gua Niah ini agak unik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Premier Sarawak mempengerusikan Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTDM) 2024 di sini, hari ini.
Terdahulu, Taman Negara Gua Niah di Miri telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dalam Mesyuarat ke-46 Jawatankuasa Warisan Dunia yang berlangsung di New Delhi, India, sekali gus menjadikannya tapak kedua seumpamanya di Sarawak selepas Taman Negara Gunung Mulu.
Tapak bersejarah itu mengandungi rekod terpanjang yang diketahui tentang hubungan manusia dengan hutan hujan tropika lebih 65,000 tahun lalu berdasarkan penemuan kajian beberapa universiti tempatan dan antarabangsa. – TVS