BINTULU, 30 Julai: Seorang penunggang motosikal maut setelah merempuh kereta di simpang lampu isyarat Jalan Sultan Iskandar di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata mangsa Mahmud Nyalong,37, meninggal dunia di tempat kejadian.
Nixon berkata sisatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang wanita itu dari arah Bandar Jaya Bintulu menuju ke Kondominium Seaview Court melalui Jalan Sultan Iskandar.
“Apabila sampai di simpang lampu isyarat Jalan Sultan Iskandar, lampu isyarat pada masa tersebut hijau, pemandu kereta berada di lorong kedua dari sebelah kanan ingin membelok ke kanan untuk meneruskan perjalanan.
“Semasa sedang membelok, tiba-tiba sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki datang dari arah belakang sebelah kanan, bergerak lurus dan melanggar kereta tersebut dibahagian tepi sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kemalangan penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bintulu yang tiba di tempat kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar berhubung kes itu kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.-TVS