KUCHING, 29 Julai: Sarawak berpotensi besar dalam menyumbang lebih banyak kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) negara menerusi penerokaan teknologi hijau dan rendah karbon.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau kagum dengan perkembangan yang ada di Sarawak terutama dalam bidang tenaga hijau.
“Saya rasa ini adalah fokus yang baik dalam bidang tenaga boleh diperbaharui,” katanya kepada TVS selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Multifuel PETROS Darul Hana dan X-FAB Sarawak Sdn Bhd di sini, hari ini.
Beliau berkata, kementeriannya bersama kerajaan Sarawak telah membincangkan mengenai ekonomi hidrogen.
Ini termasuk bagaimana kementeriannya memainkan peranan agar lebih banyak pelabur asing menanam modal dalam industri tenaga hijau.
Mengenai X-Fab, Tengku Zafrul berkata semikonduktor adalah antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
“Industri ini juga berkembang dan menjadi bahagian kritikal dalam rantaian bekalan semikonduktor,” ujarnya.