SARIKEI, 29 Julai: Sebuah rumah berek kosong yang tiba-tiba terbakar menggemparkan penduduk Kampung Selalang dekat sini, hari ini.
Insiden disedari beberapa penduduk kampung itu selepas ternampak kumpulan asap tebal sebelum bertindak menghubungi bomba pada jam 4.02 petang untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin memberitahu, kebakaran melibatkan berek berstruktur tidak kekal yang mempunyai lapan unit pintu milik sebuah syarikat swasta.
“Kejadian mengejutkan penduduk kampung kerana berlaku secara tiba-tiba dan kita difahamkan, berek ini sudah tidak berpenghuni,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mahmudin, kejadian yang berlaku pantas berikutan cuaca panas itu, mengakibatkan bangunan terbabit musnah sepenuhnya.
Katanya, bomba melakukan pemadaman menggunakan sumber air dari tangki jentera.
“Kita juga melakukan pemadaman susulan untuk memastikan kebakaran padam sepenuhnya dan tiada lagi punca api,” ujarnya.
Beliau menambah, setakat ini jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – TVS