KUCHING, 29 Julai: Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, CelcomDigi menyediakan perkhidmatan 5G kepada para pengunjung Miri Arts Festival 2024 (MAF’24) yang berlangsung pada 1 hingga 4 Ogos ini di Hotel Pullman Miri Waterfront.
Menurut penganjur bersama AX International dalam satu kenyataan, Miri bersedia menjadi pusat inovasi dan kreativiti apabila CelcomDigi tampil sebagai penyedia perkhidmatan 5G rasmi untuk MAF’24 sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam landskap budaya Malaysia.
Selain mempersembahkan rangkaian kreativiti dan kemegahan budaya yang menyeronokkan, festival tersebut juga menjadi platform utama untuk ekspresi artistik dan penglibatan komuniti yang menampilkan gabungan festival yang mengagumkan.
“Buat julung kalinya, pelawat boleh melibatkan diri dalam gabungan karya seni fizikal, digital dan maya yang lancar, semuanya boleh diakses melalui telefon pintar atau peranti 5G mereka sendiri.
“Mereka yang tidak mempunyai telefon pintar 5G boleh melihat lukisan dan arca maya di Pullman Miri Waterfront melalui demonstrasi khas,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang festival, CelcomDigi turut menawarkan pelbagai rangkaian mudah alih dan pelan gantian yang disesuaikan untuk perusahaan, PKS dan pengguna bagi memastikan setiap keperluan sambungan pelawat dipenuhi sepanjang acara itu nanti.
Antara pengisian menarik festival tersebut termasuklah Malam Gala Festival yang akan menyaksikan persembahan nyanyian daripada artis tanah air, Anuar Zain, persembahan biola daripada Nisa Addina serta pameran lukisan dan karya seni artis terkenal peringkat antarabangsa, MahsuriShark.
Seramai 500 tetamu dijangka menghadiri majlis Malam Gala itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka hadir merasmikan festival itu.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.globalrove.com/miriartsfestival, http://t2u.asia/e/36758, Instagram @miriartsfestival dan Facebook Miri Arts Festival. – TVS