MIRI, 29 Julai: Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) dijangka bermula pada Mac 2025, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Aidel Lariwoo.
Menurutnya, cadangan projek ini telah diluluskan dan jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM2.3 bilion daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kerja Raya.
“Sejak tahun 2023 pihak JKR telah bertungkus lumus menyediakan dokumentasi, perancangan awal sebelum projek ini dapat diluluskan, dimuktamadkan untuk pelaksanaan tender pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja Projek Lebuhraya Trans Borneo di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, projek yang akan bermula pada tahun hadapan ini dijangka siap pada 2028.
Projek LTB dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu di Miri (Kuala Baram-Sungai Tujoh, 4.95km), Limbang (CIQ Tedungan-CIQ Padaruan, 57.3km) dan Lawas (Lawas Town-CIQ Merapok, 34.1km). – TVS