TANJUNG MANIS, 28 Julai: Masyarakat tani diingatkan agar tidak ambil ringan amaran pihak berkuasa yang mahu aktiviti pembakaran terbuka dihentikan ketika ini.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, aktiviti pembakaran di kawasan paling berisiko seperti belukar, hutan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah perlu dielakkan bagi menghindar kemusnahan yang lebih besar apatah lagi dalam keadaan cuaca yang panas dan kering.
Pada masa yang sama katanya, beberapa kawasan di Tanjong Manis dikenalpasti sebagai titik panas kerana pernah berlaku kebakaran hutan dan belukar.
“Saya mohon janganlah buat pembakaran terbuka masa ini, sangat berbahaya kawasan kita (Tanjung Manis) ini kerap kali berlaku kebakaran, ada kalanya kita melihat rumput terbakar di tepi jala, itu disebabkan banyak faktor termasuk cuaca yang terlampau panas.
“Keadaan itu akan menjadi bertambah buruk jika ada dalam kalangan kita melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan. Justeru, saya berpesan kepada semua jangan buat pembakaran terbuka ketika ini,” katanya pada program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (Jiwa), Memancing Pantai Belawai Peringkat Parlimen Tanjong Manis di Pantai Belawai hari ini.
Hadir sama, Pengarah Penerangan Sarawak, Helmy Hamid.
Menurut Yusuf, walaupun pelbagai amaran dikeluarkan pihak berkuasa namun, masih ada segelintir pihak memandang remeh soal keselamatan disebabkan kurangnya kesedaran terhadap kesan musibah yang akan berlaku.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa penguatkuasaan dipertingkatkan dan tindakan yang lebih tegas kerana kebakaran bukan sahaja menyebabkan kemerosotan kualiti udara tetapi juga jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam satu kenyataan menzahirkan kebimbangan berikutan peningkatan mendadak trend kebakaran terbuka di Sarawak ketika ini.
Pemangku Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, 28 kes kebakaran terbuka dilaporkan, pada Sabtu paling tinggi setakat ini berbanding 15 kes yang dicatatkan pada hari sebelumnya. – TVS