GEORGE TOWN, 28 Julai: Sekurang-kurangnya 32 gerai di kompleks penjaja di Batu Feringghi dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Mohamad Rafizi Arafpin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 tengah hari sebelum pasukannya bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran itu membabitkan kemusnahan gerai-gerai yang berkeluasan kira-kira sembilan meter persegi setiap satu.
“Kebakaran turut memusnahkan barang jualan penjaja dan kenderaan termasuk motosikal.
“Anggaran kebakaran pada gerai adalah sebanyak 80 peratus dan beberapa buah motosikal sebanyak 90 peratus,” katanya kepada pemberita.
Kebakaran itu berjaya dikawal sebelum api dipadamkan sepenuhnya pada 5.55 petang.
Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – TVS