MIRI, 28 Julai: Para artis seni tatu tradisional di Miri digalakkan untuk mengangkat aktiviti mereka ke peringkat antarabangsa bagi menarik artis dan peminat tatu dari luar negara untuk datang ke Miri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata ini kerana terdapat potensi dengan rekaan tatu mereka yang unik berunsurkan adat budaya yang dibawa dari turun termurun.
“Saya galakkan kepada para penggemar tatu di Miri supaya menjadikan aktiviti ini satu aktiviti antarabangsa yang boleh menarik penggemar antarabangsa datang ke Miri.
“Saya nampak ini ada potensi besar kerana kita boleh nampak penggemar tatu kita di Sarawak, termasuk di Miri, mereka mempunyai rekaan tatu yang unik,” katanya pada Majlis Penutupan Festival Tatu Antarabangsa Miri di sini, hari ini.
Festival anjuran Persatuan Seni Ukir Tradisional Miri diadakan selama tiga hari dari 26 sehingga 27 Julai dengan penyertaan seramai 108 peserta dari 13 negara luar seperti Australia, India, Indonesia dan Filipina.
Festival ini diadakan untuk menarik minat masyarakat dan pelancong melihat budaya dan adat masyarakat Dayak di Sarawak, memupuk minat masyarakat dengan adat resam di Borneo dan menunjukkan cara selamat semasa proses pembuatan tatu.
Festival ini menekankan seni budaya asal suku kaum Dayak dengan aktiviti mencacah tatu, persembahan kuntau, persembahan muzik tradisional dan pertandingan kecantikan kategori tatu tradisional Borneo. – TVS