MIRI, 27 Julai: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyerahkan lima projek yang telah siap bernilai RM52 juta kepada kerajaan Sarawak.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, ia melibatkan tiga Projek Rancangan Tebatan Banjir dan dua Projek Hakisan Pantai.
Ia melibatkan Rancangan Tebatan Banjir Kawasan Penempatan Semula Kampung Bako, Kuching, Sarawak; Rancangan Tebatan Banjir Kampung Sebemban Lembangan Batang Sadong, Sarawak; Rancangan Tebatan Banjir Bintulu, Lembangan Sungai Kemena, Sarawak; Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Kampung Kuala Hilir Oya, Bahagian Mukah Sarawak; dan Projek Pemuliharaan Muara-Muara Sungai Bagi Negeri Sarawak-Kerja-Kerja Pemuliharaan Muara Sungai Sematan, Bahagian Kuching, Sarawak.
“Dengan siapnya tiga projek tebatan banjir ini, seramai 3,500 penduduk di kawasan terlibat akan mendapat perlindungan daripada risiko banjir manakala pelaksanaan dua projek hakisan pantai ini akan memberi manfaat kepada seramai hampir 11,000 penduduk dan nelayan daripada risiko banjir dan hakisan pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek-projek Siap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kepada Kerajaan Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut meluangkan masa untuk melawat serta memantau secara dekat Projek Rancangan Tebatan Banjir Sg. Miri.
Katanya, projek rancangan tebatan banjir yang bernilai RM25.6 juta telah mula dilaksanakan sejak Oktober 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025.
Melalui pelaksanaan projek ini, seluas 1,100 hektar dan dianggarkan seramai 12,000 penduduk di kawasan persekitaran akan terhindar dari risiko bencana banjir. – TVS