SELANGAU, 27 Julai: Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai inisiatif dan program untuk membangunkan sektor pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pelawat ke wilayah ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata antaranya penambahbaikan lapangan terbang, jalan raya dan kemudahan penginapan untuk memastikan pelancong mendapat pengalaman yang terbaik.
Kementeriannya juga aktif mempromosikan destinasi pelancongan Sarawak di peringkat antarabangsa melalui pameran dan kempen pemasaran yang menyeluruh.
“Selain itu, kerajaan Sarawak juga menekankan pentingnya pemeliharaan alam sekitar dan warisan budaya dalam setiap usaha pembangunan pelancongan,
“Kita percaya bahawa keunikan dan keaslian Sarawak adalah aset yang harus dilindungi dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya pada majlis perasmian Karnival Selangau 2024 di sini, malam tadi. Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang.
Abdul Karim berkata, inisiatif seperti program ekopelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti adalah sebahagian daripada usaha kementeriannya untuk memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif.
Mengenai Karnival Selangau, beliau berkata karnival itu merupakan satu platform yang penting untuk mempamerkan kepelbagaian budaya dan kekayaan warisan.
la juga berperanan sebagai medium mempromosikan industri pelancongan dan seni persembahan.
Dengan tema dan program yang menarik, beliau percaya karnival ini akan menarik minat pelbagai lapisan masyarakat serta pelancong dari dalam dan luar negeri. – TVS