DARO, 25 Julai: Tabung Ekonomi Gagas Anak Sarawak (TEGAS) memainkan peranan penting dalam menyemai minat golongan pelajar terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak, (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, TEGAS juga komited mempersiapkan anak muda Sarawak dengan kemahiran teknologi dan digital seiring dengan peredaran masa.
Usaha itu menurut beliau, bertujuan untuk memastikan mereka tidak ketinggalan selain mampu bersaing dengan masyarakat global terutamanya dengan belia dari negara maju yang lain.
“Inisiatif TEGAS dalam membantu mentransformasikan modal insan Sarawak tidak terhenti di situ sahaja malah, kita juga diamanahkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengendalikan Perkampungan Digital Tegas (TDV) sebagai platform pertumbuhan syarikat permula, mempromosikan inovasi digital dan memperkukuhkan ekosistem keusahawanan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi pada Majlis Perasmian Projek Jerayawara Pro Dr, di sini, hari ini.
Abdullah mendedahkan sebelum penubuhan TDV kerajaan turut membangunkan TEGAS Digital Innovation Hub (TDIH) di Kuching, Bintulu dan Miri yang menjadi lokasi penganjuran untuk acara yang berskala kecil dan besar termasuk ruangan pejabat yang dilengkapi kemudahan berteknologi tinggi.
Justeru itu katanya, TEGAS bukan sahaja bertanggungjawab membangkitkan kesedaran berkaitan peluang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TEVT) dan membangunkan bakat pelajar dalam Pendidikan STEM, malah turut mendukung agenda ekosistem Inovasi Digital dan Ekosistem Usahawan Digital (SIDE) dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Pada mulanya agak mencabar kerana kebanyakan pelajar dan belia kurang berminat dalam pendidikan TEVT apatah lagi dengan stigma pekerjaan berasaskan TVET sebagai kelas kedua.
“Namun demikian, TEGAS merangka pelbagai program bagi menarik minat dan kesedaran generasi muda termasuk mereka di pedalaman dan luar bandar.
“Program kesedaran ini bukan hanya kepada pelajar, malah ibu bapa dan penduduk setempat tentang peluang di dalam bidang TEVT melalui program-program seperti Jerayawara PRO- DR, Seminar Wanita TEGAS dan program komuniti yang lain,” ujarnya yang juga Setiausaha Lembaga Amanah TEGAS.- TVS