BINTANGOR, 24 Julai: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM3.5 juta bagi membangunkan pusat hemodialisis pertama Daerah Meradong yang bakal memberi manfaat kepada penduduk di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, peruntukan disediakan melalui dana khas yang disalurkan kerajaan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Perkembangan mengembirakan itu diumumkan beliau selepas menghadiri mesyuarat bagi membincangkan pembinaan pusat berkenaan di Pejabat Daerah Meradong, pada Rabu.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju memperuntukkan RTP khas RM3.5 juta untuk pembinaan pusat hemodialisis di kawasan Sungai Tulai.
“Pusat itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan yang berkaitan seperti katil dan mesin dialisis untuk pesakit termasuk hepatitis B dan lain-lain lagi. Dengan siapnya pusat ini nanti, pastinya membawa berita baik untuk pesakit buah pinggang,” katanya.
Kuong Hiing berkata, pusat itu merupakan satu lagi bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat khususnya pesakit buah pinggang bukan hanya di bintangor tetapi juga daerah yang berhampiran.
Menurutnya, walaupun hospital kerajaan menawarkan perkhidmatan percuma kepada pesakit namun, ada yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk mendapatkan rawatan khususnya penduduk kampung dan rumah panjang yang jauh dari pusat bandar.
Mesyuarat turut membincangkan langkah penyelesaian untuk meningkatkan keselesaan orang ramai yang kini terpaksa melalui laluan alternatif berikutan pembinaan jalan baharu di Batu Empat Jalan Kelupu. -TVS