BINTULU, 22 Julai: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Sarawak Petchem Sdn Bhd hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membekalkan gas asli ke Loji Amonia Rendah Karbon dan Urea, Petchem Sarawak di Bintulu.
Menerusi MoU ini, PETROS sebagai Pengagregat Gas tunggal di Sarawak, memfokuskan terhadap usaha untuk mempromosikan penggunaan gas yang lebih meluas di seluruh negeri sambil menyokong aspirasi Sarawak untuk mempercepatkan pembangunannya dalam industri petrokimia dan mengembangkan ekonomi rendah karbon.
PETROS merancang untuk membekalkan 160 MMscfd gas asli ke Loji Ammonia dan Urea Rendah Karbon di Bintulu selepas loji itu siap serta dengan pentauliahannya menjelang 2030.
Ketika ini loji tersebut di peringkat kajian kebolehlaksanaan dan dijangka memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga rendah karbon dan baja.
Menandatangani MoU itu, PETROS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PETROS Group Dato Janin Girie, manakala Sarawak Petchem diwakili Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Mohammad Ibrahim.
Acara pertukaran dokumen ini berlangsung pada Majlis Perasmian Kompleks Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong, hari ini.
Upacara menandatangani MoU itu disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Sarawak Petchem Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.
MoU tersebut mencerminkan visi kecemerlangan dan inovasi antara kedua-dua syarikat milik Sarawak yang komited meletakkan standard tertinggi penjagaan dan kelestarian alam sekitar. – TVS