KUCHING, 20 Julai: Pengambilalihan pegangan dalam Affin Bank oleh Sarawak disifatkan sebagai langkah bijak Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hazwan Husain berpendapat langkah itu sebagai persiapan bagi kerajaan negeri dalam memastikan hasil di masa hadapan bertambah.
“Ini seiring dengan bertambahnya komitmen jangka masa panjang dengan pengoperasian contohnya Transit Aliran Autonomi (ART), rancangan pembinaan jalan raya pesisir pantai dan lain-lain perbelanjaan baharu.
“Langkah ini penting dalam memastikan setiap perbelanjaan projek rakyat ini mampan,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Katanya lagi, langkah itu memperlihatkan usaha Kerajaan Sarawak dalam mempelbagaikan sumber hasil pada masa hadapan agar tidak terus bergantung kepada hasil minyak.
“Ini turut mempelbagaikan sumber hasil melalui pelaburan dengan juga menekankan sumber hasil dalam negeri agar dapat mengimbangi risiko pelaburan luar negeri.
“Ini juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi sektor perbankan di peringkat negara dan juga aktiviti perbankan di peringkat negeri,” katanya lagi.
Tambahnya, beliau yakin pengambilalihan pegangan itu nanti akan menjamin pendapatan besar buat wilayah ini di masa akan datang.
Pada Jumaat Premier Sarawak memberitahu, Kerajaan Sarawak tidak akan mencampuri sebarang kawalan ke atas operasi Affin Bank selepas perkara itu dimuktamadkan sepenuhnya kelak.
Tegasnya, kerajaan negeri tidak mempunyai kepentingan atau sebarang bentuk penglibatan dalam pengurusan atau pentadbiran Affin Bank.
Sebarang keputusan perniagaan yang dibuat oleh Affin Bank adalah sepenuhnya tanggungjawab lembaga pengarah dan pengurusan bank tersebut.-TVS