KUALA LUMPUR, 19 Julai: Affin Bank berkemampuan menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak yang terlibat sebagai vendor dalam ekonomi hijau yang sedang berkembang di wilayah itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebagai contoh industri hidrogen memerlukan khidmat vendor untuk penyelenggaraan.
Selain itu katanya loji metanol juga bergantung kepada kepakaran kejuruteraan yang dibekalkan oleh vendor PKS.
“Mereka (vendor) memerlukan modal dan di sinilah bank boleh (bantu) untuk (terus) berkembang,” katanya kepada TVS.
Terdahulu Abang Johari hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik membabitkan Kerajaan Sarawak dengan LTAT di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, di Sarawak pelbagai pembangunan ekonomi sedang berlaku memerlukan kerjasama bank perdagangan.
“Ini termasuklah penyelenggaraan dan pembinaan rangkaian jalan raya, bekalan bahan binaan dan banyak lagi.
“Kita (Kerajaan Sarawak) mahu PKS selain industri makanan juga terlibat dalam kegiatan ekonomi ini,” katanya.
Proses jual beli saham Affin Bank kepada Sarawak selesai bulan depan – Abang Johari
Menurut Abang Johari sekiranya Sarawak mempunyai kepentingan dalam bank perdagangan, kerjasama berkenaan akan lebih mudah.
“Bank lain ada namun kadang – kala prosesnya agak panjang,” tambah Abang Johari. -TVS.