KUALA LUMPUR, 17 Julai: Sarawak berjaya menarik pelaburan berjumlah RM4.2 bilion bagi suku pertama tahun ini, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, pencapaian itu meletakkan wilayah itu sebagai yang keempat tertinggi di Malaysia dalam nilai aliran pelaburan.
Sarawak tidak cadang bina loji nuklear, fokus tenaga hidro – Abang Johari
Jelas beliau kemasukan pelabur asing dan domestik ke Sarawak telah membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rakyat di sana.
“Pencapaian sebegini mencerminkan visi Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang berpandangan jauh dalam membimbing Sarawak sejak 2017 bagi mendepani trend dan cabaran global.
Sarawak temui kaedah hasilkan hidrogen guna tenaga lebih rendah – Abang Johari
“Beliau juga memastikan Sarawak bukan sahaja seiring dengan pembangunan malah juga mendahului (negeri lain) dalam beberapa sektor,” katanya ketika berucap pada Majlis MIDA Invest Series Sarawak, di sini hari ini.
Turut hadir, Abang Johari dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Sementara itu Tengku Zafrul memaklumkan syarikat elektrik dan elektronik (E&E) serta syarikat kimia kini banyak dibangunkan di Sarawak sepeti OCI, X Fab, Melexis dan Taiyo Yuden.
Sehubungan itu, dalam memperkukuh hubungan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, beliau berkata kementeriannya telah melaksanakan beberapa inisiatif pembiayaan bagi menyokong aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Ini termasuk Domestik Investment Accelerator Fund (DIAF) dan Foreign Investment Accelerator Fund (FIAF).
“Inisiatif ini akan menggalakkan lagi inovasi, automasi, pendigitalan dan amalan ESG antara pengeluar dan penyedia perkhidmatan tempatan,” katanya. -TVS.