KUCHING, 17 Julai: Stesen radio tempatan, CATS FM mengalami gangguan dalam siaran mereka akibat bekalan elektrik di bangunannya di Jalan Bako, Petra Jaya terputus semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, bekalan elektrik di seluruh bangunan terpadam pada 9.16 malam tadi susulan asap dilepaskan dari bilik Papan Suis Utama (MSB) di stesen itu.
“Pada 10.05 malam, pasukan Bomba dan Penyelamat dari Petra Jaya yang tiba di stesen segera membuat pemeriksaan sebelum mengesahkan bangunan itu selamat dan keadaan terkawal.
“Kakitangan teknikal dari SESCO juga melakukan pemeriksaan menyeluruh untuk memastikan tiada kerosakan teknikal atau kerosakan besar pada litar utama,” kata kenyataan itu.
Penutupan itu menjejaskan sementara operasi stesen termasuk siarannya, di udara dan dalam talian.
Bagaimanapun, pasukan teknikal CATS berjaya memulihkan bekalan elektrik dan menyambung semula siarannya sekitar jam 9.16 pagi ini di seluruh negeri kecuali di kawasan Kuching.
Sekitar jam 10 pagi, pemancar Gunung Serapi berjaya menghantar isyarat ke seluruh wilayah selatan dan gangguan yang bermula malam tadi berjaya diperbaiki sepenuhnya.
“Walau bagaimanapun, CATS menggunakan mod automasi muzik atau muzik tanpa henti ketika gangguan berlaku sementara pasukan teknikalnya meneruskan kerja pembaikan dan penyelenggaraan,” katanya.
Siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengetahui punca gangguan bekalan elektrik itu bagi memastikan kejadian seumpama tidak berulang pada masa akan datang. – TVS