KUCHING, 16 Julai: Litar pintas dikenal pasti sebagai punca asap dalam bilik papan kunci utama (MSB) di bangunan CATS FM, Jalan Demak Laut, di sini sekitar jam 9.16 malam ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, siasatan awal forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati hanya asap keluar dari bilik MSB dan tiada operasi pemadaman di lakukan.
Menurut laporan PGO, seramai 10 anggota BBP Petra Jaya beserta masing-masing sebuah jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 9.24 malam.
“Operasi tamat jam 10.05 malam setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal dan seterusnya bertolak balik ke balai,” catat laporan terbabit
Seramai tiga anggota polis turut berada di lokasi serta tiada kemalangan jiwa di laporkan.
Setakat berita ini ditulis, pihak bomba sedang melakukan siasatan dan menunggu pihak Sarawak Energy di lokasi. -TVS