KUCHING, 16 Julai: Penglibatan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Transparency International Malaysia (TI-M) dalam Bengkel Anti-Corruption And Legal Liability Workshop untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak menjadi bukti komitmen kerajaan negeri memerangi rasuah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, penglibatan dua buah agensi tersebut sejak beberapa tahun terakhir membuktikan kesungguhan Sarawak memerangi rasuah sekali gus memastikan tatakelola yang diamalkan di Sarawak tidak berlaku sebarang ketirisan.
“Di samping kita ada UMODC bersama kita juga pada hari ini ialah pihak AI Transparency International Malaysia yang barangkali satu ketika dahulu orang tidak berani hendak jemput.
“Tapi kita di Sarawak sejak tiga tahun yang lalu kalau saya tak silap telah jemput setiap tahun bersama dengan kita untuk membuktikan kesungguhan kita memerangi rasuah,” katanya.
Beliau berucap semasa Majlis Penutupan Bengkel Anti-Corruption And Legal Liability Workshop Untuk Ahli ADUN Sarawak di Waterfront Hotel di Kuching pada Selasa.
Tambahnya, penganjuran program yang melibatkan ahli politik ini merupakan yang pertama kali dianjurkan dalam Malaysia dan Sarawak merupakan negeri terawal dalam melaksanakannya.
Ujarnya, ini merupakan aspirasi daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu meningkatkan integriti dan tatakelola yang baik dalam urusan pentadbiran di Sarawak.
“Kita dimaklumkan oleh pihak UMODC bahawa ini adalah program yang pertama kali diadakan bersama-sama dengan ahli-ahli politik di Malaysia dan Sarawak.
“Jadi, kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak United Nations on Drugs and Crime (UMODC) demikian juga dengan pihak Transparency International Malaysia di samping pejabat Dewan Pembangunan Negeri Sarawak DUN atas kolaborasi bersama dengan pihak Union mengadakan program pada hari ini,” jelasnya. -TVS