BINTULU, 15 Julai: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak meneruskan program bantuan kepada para penternak di sini.
Menurut Penolong Pegawai Veterinar Kanan, Parag Kaweh, antara program yang dijalankan adalah seperti Cattle Pawah Programme (CPP), Buffalo Entrepreneur Programme (BEP) dan Small Ruminant Pawah Programme (SRPP).
“Mereka yang sudah memohon akan diselidiki sama ada tempat itu sesuai atau tidak untuk skim ini dan sebelum diberi kepada kementerian untuk kelulusan seterusnya. Jadi konsep dia adalah seperti mungkin dia mempunyai saiz beberapa hektar jadi kita kemungkinan memberikannya mengambil 100 ekor betina dan 10 ekor jantan.
“Kita bagi kepada pemohon dan di dalam jangka masa lima tahun hingga enam tahun jadi mereka akan membayar balik kepada kerajaan jumlah yang sama. Jadi anak yang dibayar balik ini akan diberikan kepada peserta yang seterusnya,” katanya ketika ditemui TVS di tapak Sarawak Agrofest 2024 di sini, hari ini.
Jelasnya, DVS menetapkan syarat yang ketat kepada pemohon bagi memastikan pemohon ini serius dalam bidang penternakan.
Katanya, pemohon mesti membuktikan bahawa mereka mempunyai haiwan ternakan terlebih dahulu dengan dikehendaki untuk menandatangani dokumen perjanjian berkaitan.
“Jadi di dalam semua ini nanti kita ada beberapa dokumen yang perlu mereka tandatangan. Seperti perjanjian pembayaran balik dan perjanjian memelihara dengan baik.
“Ada perjanjian tertentu, yang konsep dia dan supaya mereka mengambil serius dengan perternakan ini, bukan main-main. Bukan diberi kepada mereka dan besok harinya ataupun seterusnya mereka jual. Itu tidak boleh dijual,” ujarnya lagi.
Selain itu, para pemohon juga mestilah mempunyai kawasan yang luas, lengkap dengan kemudahan seperti air dan elektrik, jarak sekurang-kurangnya 200 meter dari kawasan awam, dan sudah menanam rumput napier yang mencukupi. Ia merupakan antara aspek penting yang perlu dilihat sebelum menjadi penternak.
Bercerita lanjut mengenai baka yang akan diberikan kepada pemohon, katanya, baka yang dipilih bersesuaian dengan keadaan di Sarawak seperti lembu bali, kerbau sawah, lembu brahman, kambing katjang, bebiri dorper, dan kambing saanen.
Katanya, mereka yang berminat boleh merujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar berdekatan. – TVS