MUKAH, 15 Julai: Acara ikonik di Bahagian Mukah iaitu Pesta Kaul yang sinonim dengan budaya dan tradisi masyarakat Melanau yang diteruskan penganjurannya pada tahun ini menampilkan keunikan berbeza berbanding tahun sebelumnya dengan gerai komuniti sebagai tarikan utama edisi kali ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, gerai komuniti menampilkan kreativiti tempatan bagi pengunjung luar mengenali dengan lebih dekat budaya dan adat masyarakat Melanau.
Menurut Royston, sekitar 20 gerai komuniti didirikan di Pantai Kala Dana dengan ia bukan sahaja menonjolkan kepelbagaian produk tempatan seperti makanan tradisional, kraf tangan dan pakaian, tetapi turut menjadi interaksi sosial antara pengunjungnya.
“Gerai komuniti adalah satu program yang setiap tahun dianjurkan dan ia merupakan elemen wajib dalam setiap edisi. Setiap gerai komuniti menampilkan banyak pameran kebudayaan terutama sekali mengenai cara hidup komuniti Melanau.
“Saya yakin gerai komuniti ini tarikan utama yang mampu menarik orang ramai hadir melihat keunikan Pesta Kaul ini,” katanya ketika ditemui TVS di tapak Pesta Kaul di Pantai Kala Dana, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Royston optimis sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung dapat dicapai pada Pesta Kaul Mukah tahun ini susulan kehadiran menggalakkan orang ramai sepanjang tiga hari penganjurannya.
“Saya yakin sasaran 10,000 pengunjung dapat dicapai sebab kita lihat dari segi sambutan terutama sekali pada hujung minggu memang sangat menggalakkan.
“Tambahan pula dalam minggu ini sahaja ada tiga acara berskala besar diadakan di sini secara serentak iaitu Pesta Kaul, regata dan pesta ria, jadi sudah pasti pengunjung luar yang hadir akan berkunjung di kesemua lokasi acara-acara ini,”katanya.
Pesta Kaul Mukah 2024 berlangsung bermula 13 hingga 21 Julai ini.
Untuk rekod, Pesta Kaul dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan sebagai acara tahunan yang diadakan di Mukah. – TVS