BINTULU, 14 Julai: Dua lelaki tempatan dicekup ketika sedang memotong kabel di dalam manhole utama milik sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Sultan Iskandar di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu disedari pihak keselamatan syarikat telekomunikasi yang sedang melakukan rondaan sebelum menghubungi pihak polis sejurus melihat suspek yang mencurigakan di kawasan tersebut.
“Turut dirampas dalam milikan suspek ialah 16 potongan kabel pelbagai saiz, seunit chain block, seunit tangga dan seunit gergaji besi.
“Semakan rekod lampau kedua-dua suspek memiliki kes berkaitan jenayah curi dan penagihan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Bintulu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan, saringan awal air kencing suspek positif dadah methamphetamine/amphetamine.
“Pihak polis tidak berkompromi ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan perbuatan jenayah.
“Kolaborasi bersama pihak syarikat telekomunikasi adalah merupakan usaha berterusan dalam mengekang kejadian kecurian kabel,” katanya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta tampil dan menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.-TVS