KUCHING, 13 Julai: Seramai 100 pelanggan berpeluang membawa pulang hadiah menarik sempena program pandu uji model terbaharunya, skuter Lambretta X250 di Lambretta Cawangan Kuching di CityOne MegaMall di sini.
Ketua Pemasaran Lambretta Kuching, Shafikah Mohammad berkata, program dua hari itu bermula hari ini dan akan berakhir pada jam 5 petang esok.
Menurutnya cawangan itu pada ketika ini menawarkan 12 unit motosikal model X250 serta menawarkan pelbagai promosi istimewa menerusi setiap pembelian unit berkenaan.
“Unit ini sangat terhad dengan hanya 12 unit sahaja yang ada di Sarawak. Sebelum ini kami berjaya menjual G350 yang hanya ada lima unit sahaja di dalam Sarawak dan mampu terjual untuk tempoh kurang daripada dua bulan.
“Jadi kami akan membuat peraduan untuk X250 ini, siapa yang daftar dahulu dia yang akan dapat, sangat terhad,” katanya ketika ditemui TVS, di sini, hari ini.
Shafikah memberitahu Lambretta Sarawak akan meluaskan sayapnya dengan membuka cawangan lain antaranya di Sibu dan Bintulu. – TVS