KUCHING, 12 Julai: Kuching City FC berjaya merakam kemenangan pertama Liga Super 2024 apabila menewaskan PDRM FC 2-0 di Stadium Negeri di sini, malam ini.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu tampil garang apabila membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Daniel Amier yang menyudahkan hantaran kemas daripada Jordan Mintah.
Paukan pelawat kemudiannya diberikan sepakan penalti oleh pengadil, Mohd Yaasin yang mengesan kekasaran dilakukan Yuki Tanigawa di kawasan kotak penalti.
Ifedayo Olusegun bagaimanapun gagal memanfaatkan peluang itu apabila sepakannya diselamatkan penjaga gol The Cats, Shahril Sa’ari pada minit ke-35.
Perlawanan kemudiaanya rancak dengan asakan bertali arus oleh kedua-dua pasukan namun tiada jaringan tambahan sehingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan pasukan tuan rumah lebih mendominasi perlawanan apabila berjaya melakukan beberapa percubaan tepat ke arah gawang PDRM FC.
Menjelang minit akhir perlawanan pemain import Kuching City FC, Jordan Mintah sekali lagi menyumbang kejayaan kepada pasukan wakil Sarawak itu, kali ini menerusi sepakan penalti pada minit – minit akhir perlawanan.
Kemenangan itu melonjakkan Kuching City FC ke kedudukan keenam carta liga setelah mengharungi lima perlawanan dengan tiga keputusan seri dan satu kekalahan sebelum ini. – TVS