GEORGE TOWN, 12 Julai: Mangsa kedua yang bertarung nyawa selepas termakan keropok makanan segera disyaki bercampur racun tikus, Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.
Ibu mangsa, Nurain Hasnorizal, 25, memberitahu, anak bongsu tersebut menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.24 petang semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik.
Seorang daripada dua mangsa keropok beracun meninggal dunia hari ini
“Hilang sudah kesakitannya. Jenazah akan dikebumi di sebelah kubur abangnya di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kedah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Abang mangsa, Muhammad Akil Syauqi, 3, sebelum ini dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi kelmarin semasa dirawat di HPP.
Jenazah Muhammad Akil Syauqi selesai bedah siasat, dituntut keluarga
Terdahulu, media melaporkan, dua beradik itu kritikal selepas termakan keropok yang dijumpai pada pagar dawai besi di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah pada Ahad.
Makanan tersebut dipercayai dicampur racun tikus bagi memerangkap monyet oleh penduduk kampung.
Kejadian itu disedari Nurain apabila mendapati kedua-dua anaknya muntah dan mulut berbuih sebelum menghantar mereka ke Hospital Kulim dan kemudiannya dipindahkan ke HPP. – TVS