KUCHING, 12 Julai: Festival Maal Hijrah 1446H/2024 anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) membuka tirainya hari ini.
Majlis pengibaran bendera festival dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai di Masjid Jamek Negeri Sarawak.
Acara bermula dengan perarakan masuk kontinjen pembawa bendera rasmi Festival Maal Hijrah dari Unit Polis Bantuan LAKMNS diiringi pancaragam lembaga itu bersama kumpulan Bagpipe Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak.
Festival Maal Hijrah merupakan acara tahunan LAKMNS dengan matlamat utama penganjuran untuk menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Hijrah.
Selain itu ia turut menjadi platform mengimarahkan serta mempromosikan masjid sebagai pusat riadah secara sihat berlandaskan nilai-nilai agama menerusi pengisian program bercirikan kerohanian, kekeluargaan, sukan dan sebagainya.
Antara pengisian lain bagi festival selama tiga hari sehingga 14 Julai termasuk Malam Cinta Rasul, Gema Haflah, Jualan Rahmah, infokiosk agensi awam dan swasta, program kesihatan serta pelbagai pertandingan seperti berzanji dan marhaban, street soccer dan silat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual akan menghadiri Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah bagi edisi tahun ini pada Ahad. -TVS