SIBURAN, 12 Julai: Program Jerayawara Project Of Dream Realised (Pro-Dr) Siri Ke-19 Tahun 2024 membantu kerajaan untuk mempromosikan pendidikan kemahiran dan teknikal kepada belia di seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, penganjuran program mengikut bahagian telah memberi peluang kepada kumpulan sasar untuk mengetahui saluran pendidikan serta kerjaya yang boleh diceburi setelah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tambah beliau, Pro -Dr juga merupakan usaha mempersiapkan generasi muda di luar bandar berdepan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) selain merapatkan jurang digital.
“(Berkenaan penganjuran acara ini) Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) ingin mendedahkan lepasan SPM dengan peluang pendidikan atau kerja untuk mereka melanjutkan karier.
“Program ini diadakan di tempat terbuka, jadi mereka boleh datang sepanjang hari kerana TEGAS membuka booth serta pelbagai agensi lain juga terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir program itu di Dewan Masyarakat Siburan di sini hari ini.
Pro-Dr Siri Ke-19 Tahun 2024 melibatkan 45 buah institusi pendidikan dan latihan, agensi kerajaan dan agensi bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian.
Penganjuran program di sini menyasarkan kehadiran lebih 300 lepasan SPM dari empat buah sekolah di Siburan. -TVS