KUALA LUMPUR, 11 Julai: Nilai ditambah sektor agromakanan yang berkembang pada suku pertama tahun ini memberi sumbangan yang signifikan sebanyak 10.9 peratus terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia meliputi sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan yang berkembang sebanyak RM43.3 bilion (0.3 peratus).
“Prestasi ketiga-tiga sektor agromakanan merekodkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu 1.6 peratus bagi sektor pertanian, 0.5 peratus bagi sektor pembuatan dan 3.9 peratus bagi sektor perkhidmatan,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Dato Sri Doris Sophia Brodi (Gabungan Parti Sarawak – Sri Aman) mengenai pemantauan keselamatan makanan bagi meningkatkan sistem bekalan makanan negara.
Berkenaan inisiatif kementerian untuk meningkatkan kecekapan sistem bekalan negara, Arthur memaklumkan, pelbagai strategi dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara.
“Ini termasuk memperluas Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), memperkasa industri akuakultur serta memperkasa Pelan Pembangunan Baka dan Benih Akuakultur.
“Selain itu, memperkukuh industri lembu pedaging, memperkasa pengeluaran daging lembu dalam negara, serta mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan dan inovasi,” katanya. -TVS