KUCHING,11 Julai: Seramai 1,200 peserta bakal menghadiri Kongres Herpetologi Sedunia Ke-10 2024 (WCH10) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula 5 hingga 9 Ogos depan.
Kongres pada tahun ini akan bertemakan ‘Membentuk Masa Depan Pemuliharaan Amfibia dan Reptilia menerusi kerjasama global’.
Pengarah Kongres WCH10, Prof. Dr. Indraneil Das berkata menyaksikan penyertaan mengalakkan itu, acara global berkenaan bakal menghimpunkan pakar dan pemain industri dari seluruh dunia untuk menangani isu kritikal yang dihadapi oleh amfibia dan reptilia.
“Kami berhasrat untuk memupuk kerjasama dan memberi inspirasi kepada penyelesaian inovatif untuk memulihara spesies penting ini dan ekosistemnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kongres berkenaan bakal membabitkan perkongsian daripada golongan profesional dan pakar dari lebih 70 buah negara.
WCH10 kali ini dianjurkan oleh Kongres Herpetologi Sedunia (WCH) dan Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), sempena Persidangan Penyakit Amfibia dan Reptilia Global (GARD2024), Global Ranavirus Consortium (GRC), dan 1StopBorneo Wildlife.
Kongres berkenaan turut mendapat tajaan daripada Wildlife Acoustics, Pensoft Publishers, Society for the Study of Amphibians and Reptiles, Malaysian Society on Toxinology dan Remote Envenomation Consultancy Services ASEAN.
Kongres ini juga disokong oleh Business Events Sarawak, Pusat Biodiversiti Sarawak, AGARK DGHT, dan Institut Pertanian Tennessee University. – TVS