Kuala Lumpur, 10 Julai: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mencetuskan cemas dalam Dewan Rakyat pagi kerana semput ketika menjawab soalan menjelaskan keadaan kesihatan beliau baik.
Anthony menjelaskan ‘kekecohan’ itu berlaku kerana beliau lewat sampai di Parlimen disebabkan terperangkap dalam kesesakan lalu – lintas.
Dewan Rakyat: Anthony semput, Hasbi ganti jawab soalan pemandu OKU
Ketika sampai di Parlimen jelasnya, bacaan doa sedang berlangsung.
“Saya terus bergegas masuk dewan dan apabila sampai, soalan (yang perlu saya jawab) telah dibangkitkan.
“Oleh itu saya terus mengambil teks ucapan, belum sempat untuk tarik nafas, terpaksa pula baca teks yang tidak berapa sempurna menyebabkan saya tidak dapat baca seperti biasa sehingga saya terpaksa berhenti,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Terdahulu, sesi jawab lisan soalan pertama hari ini itu terganggu seketika apabila Ahli Parlimen Seremban itu dilihat kurang sihat ketika membaca teks jawapan.
Anthony kelihatan seolah – olah sesak nafas sehingga menyebabkan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng meminta timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah menjawab bagi pihaknya.
Sementara itu Anthony mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin kepadanya.
“Semua ingat saya pengsan tadi dan dimasukkan ke hospital (malah) ada pemimpin parti saya dari negeri lain yang tanya saya berada di hospital mana.
:Jadi saya menjelaskan bahawa saya tidak ada di hospital, saya masih bertugas di Parlimen sepanjang hari ini,” katanya. -TVS.