KUALA LUMPUR, 10 Julai: Dasar semasa tidak menghalang Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan yang memiliki kad OKU Jabatan kebajikan Masyarakat(JKM) untuk memohon lesen vokasional PSV E-Hailing.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pemohon kategori berkenaan perlu memiliki pengesahan kesihatan daripada pengamal perubatan berdaftar.
Jelas beliau, pemegang Lesen Memandu Malaysia (LLM) Kelas A dan A1 pula tidak dibenarkan untuk memohon Lesen Vokasional bagi apa-apa kelas.
“Perkara ini telah dinyatakan di bawah Seksyen 30, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mensyaratkan seorang pemohon perlu membuat akuan dalam borang yang ditetapkan sama ada dia menghidap apa-apa penyakit atau ketidakupayaan jasmani yang mungkin menyebabkan pemanduannya menjadi suatu punca bahaya kepada orang lain,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Cheng (Pakatan Harapan – Subang) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan garis panduan untuk membenarkan pemandu OKU dengan lesen A/A1 untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing dan rancangan kerajaan untuk mengubah garis panduan sedia ada.
Sementara itu Hasbi berkata, perkara itu juga dijelaskan menerusi perundangan subsidiari di bawah Kaedah 4, Kaedah – kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan Dan Kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang) 1959.
Terdahulu, sesi jawab lisan soalan pertama itu terganggu seketika apabila Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang sepatutnya menjawab dilihat kurang sihat ketika mula memberikan jawapan.
Anthony kelihatan seperti sesak nafas dan menyebabkan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng meminta Hasbi menjawab bagi pihaknya.
Ahli Parlimen Seremban itu kemudian menjawab soalan tambahan Wong Cheng berkaitan isu pemandu e-hailing OKU yang membuat laporan selepas mendakwa dipukul pengawal peribadi orang kenamaan.
Athony menjelaskan kes itu sedang disiasat oleh pihak polis. -TVS.