KUALA LUMPUR, 10 Julai: Sarawak akan menjadi salah satu lokasi pertemuan pemimpin antarabangsa susulan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selaku pengerusi pakatan negara serantau itu, Malaysia telah menetapkan tiga tonggak utama iaitu keselamatan dan politik, ekonomi dan sosiobudaya.
Jelas beliau, Kementerian Luar merupakan peneraju kepada teras politik dan keselamatan dan menerusi kesemua teras berkenaan, sebanyak 257 mesyuarat peringkat tertinggi membabitkan menteri dan pegawai kerajaan negara anggota dijadualkan berlangsung pada tahun depan.
“Kita sudah kenal pasti tempat – tempat mesyuarat ini akan berlangsung (dan bukan semuanya) di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara seperti Kota Kinabalu, Kuching, Johor, Melaka, Langkawi, Pulau Pinang dan sebagainya,” katanya pada Waktu – Waktu Pertanyaan Bagi Jawab Lisan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (Pakatan Harapan – Gombak) yang ingin tahu persediaan kerajaan untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dan apakah perkara utama yang ingin dicapai Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, berikutan terlalu banyak mesyuarat bakal berlangsung, perkara itu diuruskan oleh Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2025 (SILA) yang dibentuk.
“Seketeriat utama urus soal logistik yang penting (dan) perlu dilihat daripada sekarang untuk kita menerima tetamu dari seluruh dunia.
“Antara mesyuarat berkenaan termasuklah ASEAN+11 Rakan Dialog dan Rakan-Rakan luar yang lain.
“Oleh itu, pelbagai acara akan diaturkan sepanjang tahun hadapan dan KLN telah memohon kerjasama kementerian, agensi dan berkaitan untuk melancarkan persiapan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” katanya.