IPOH, 9 Julai: Empat penumpang nyaris maut selepas ambulans dinaiki mereka remuk terbabas dalam parit berdekatan Plaza Tol Kamunting menghala Taman Berkat, Kamunting dekat sini awal pagi tadi.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira pukul 3.30 pagi sebelum pasukan bomba dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting yang tiba di lokasi kejadian mendapati kejadian itu membabitkan ambulans milik Kementerian Kesihatan (KKM) bersama empat mangsa termasuk pemandu.
“Seorang lelaki telah dikeluarkan daripada kenderaan itu dengan bantuan orang awam, manakala bomba mengeluarkan tiga lagi mangsa.
“Dua mangsa lelaki mengalami kecederaan parah dan seorang wanita mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kesemua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Taiping dengan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, operasi yang membabitkan lapan orang keanggotaan itu ditamatkan pada pukul 4.20 pagi. – TVS