PUTRAJAYA, 2 Julai: Presiden Republik Filipina, Ferdinand R Marcos Jr mengalukan penglibatan syarikat-syarikat Malaysia dalam aktiviti ekonomi di Selatan Filipina.
Wisma Putra berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Marcos Jr kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengadakan kunjungan hormat ke atasnya pada lawatan rasmi beliau ke republik itu, pada Isnin.
“Antara lain, kedua-dua pihak menilai perkembangan positif di Selatan Filipina. Mengambil kira potensi luas wilayah tersebut, Presiden menjemput syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti ekonomi bagi meningkatkan Pembangunan sosioekonomi di Selatan Filipina,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, kerjasama dua hala antara kedua-dua negara juga akan diperkukuh terutamanya dalam sektor pelaburan, perdagangan, industri halal, kewangan Islam dan keterjaminan makanan.
Perkara itu dibangkitkan ketika pertemuan dengan rakan sejawat, Menteri Luar Negeri Filipina, Enrique A Manalo.
Kedua-dua menteri turut menekankan kepentingan perpaduan ASEAN dalam menangani isu serantau, selain keperluan mendesak gencatan senjata segera di Palestin.
“Filipina juga memberikan jaminan untuk terus memberi kerjasama penuh kepada Malaysia sewaktu Kepengerusian ASEAN pada 2025,” katanya.
Kenyataan memaklumkan, Mohamad mengulangi komitmen Malaysia untuk menyokong pembangunan sosioekonomi Bangsamoro menerusi program pembinaan keupayaan, termasuk Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). -TVS