JAKARTA, 1 Julai: Acara Perniagaan Sarawak (BESarawak) mempromosikan Sarawak sebagai destinasi Mesyuarat, Insentif, Konvensyen, Pameran (MICE) untuk pasaran Indonesia.
Sesi kemas kini produk dan rangkaian yang dihadiri lebih 50 ejen pelancongan dianjurkan bertujuan untuk berkongsi perkembangan terkini dan peluang MICE di Sarawak.
Menurut Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran BEsarawak, Jason Tan Chin Foo, beliau mahu memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi menarik untuk pemain industri acara perniagaan Indonesia.
“Agenda kami hari ini direka untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai produk, perkhidmatan dan pengalaman terkini yang ditawarkan Sarawak untuk MICE yang pastinya dapat menarik pasaran Indonesia,” katanya.
Jason juga meminta para ejen untuk meneroka peluang yang ditawarkan oleh BEsarawak untuk pelanggan mereka, terutamanya pelanggan korporat, kumpulan insentif, dan kumpulan mesyuarat.
Dalam pada itu, BEsarawak juga akan menyediakan sokongan menyeluruh untuk kumpulan MICE dari Indonesia yang datang ke Sarawak.
Dengan gabungan unik keindahan alam semula jadi yang menakjubkan dan kemudahan terkini, BEsarawak berharap untuk sentiasa menjadi destinasi pilihan MICE dan menyumbang kepada peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong dari Indonesia ke Malaysia. -TVS