KUALA LUMPUR, 1 Julai: Kesemua agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah diaktifkan untuk membantu mangsa banjir di Sabah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, selain itu beliau juga difahamkan Pejabat Daerah di wilayah itu juga telah menyalurkan bantuan kepada mangsa terlibat.
“Semuanya telah diaktifkan, kami di JKM sentiasa bersedia apabila banjir berlaku ,” katanya ketika ditemui TVS di pejabatnya di Parlimen hari ini.
Situasi banjir di Sabah bertambah buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 328 orang daripada 105 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa kawasan, setakat 4 petang tadi.
Pagi tadi, sebanyak 114 mangsa banjir daripada 42 keluarga direkodkan di dua PPS di Penampang dan Putatan.
Sementara itu, Nancy turut mengucapkan takziah kepada keluarga seorang wanita berusia 37 tahun ditemukan maut dipercayai lemas dalam kejadian banjir di Penampang pagi tadi.
“Kita rasa dukacita (dengan kejadian berkenaan). Lebih menyedihkan (saya difahamkan) suami cuba hendak membantu isterinya namun tidak kesampaian,”katanya.
Sehubungan itu Nancy menasihatkan semua mangsa banjir supaya sentiasa berhati-hati dan tidak bertindak bersendirian. -TVS.