KUCHING, 1 Julai: Bulan Kebersihan Bandar Raya Kuching Peringkat Majlis Perbandaran Padawan (MPP) diadakan dengan tujuan menyemai sikap bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata program ini satu langkah penting ke arah menjadikan bandar raya ini lebih hijau.
“Melalui aktiviti ini, saya berharap agar kita dapat memupuk generasi baharu tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
“Dengan melibatkan ahli masyarakat, terutamanya golongan belia, kita akan dapat menyemai nilai-nilai penjagaan dan tanggungjawab alam sekitar,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi MPP Tan Kai pada Majlis Pelancaran Bulan Kebersihan Bandar Raya Kuching Peringkat MPP di sini, hari ini.
Menurutnya, kebersihan persekitaran amat penting dalam memastikan alam sekitar kekal terjamin kualiti demi masa hadapan generasi akan datang.
Program itu merangkumi kitar semula, kelestarian sekitar dan pendidikan kesihatan yang bertujuan menjadikan Padawan tempat yang lebih bersih, sihat serta selamat.
Ia dilaksanakan sepanjang Julai melibatkan beberapa siri aktiviti antaranya Program Pengasingan Sisa Pepejal serta Program Hari Tanpa Beg Plastik dan Bekas Makanan Styrofoam.
Turut disenaraikan, Program Pendidikan Kebersihan Premis Kesihatan, Alam Sekitar dan Makanan serta Kempen Beli Balik untuk Barangan Kitar Semula, Sisa Elektrik/ Elektronik, Koleksi Minyak Masak Terpakai dan Sumbangan Pakaian Terpakai. – TVS