KUCHING, 29 Jun: Karnival Eksplorasi Pendidikan Stem N8 Satok 2024, Edisi Kedua, selari dengan dasar Kerajaan Sarawak dalam melahirkan cendekiawan dan tenaga kerja mahir dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata pada masa hadapan industri pekerjaan bergerak ke arah kemahiran dan pengetahuan mengenai pendigitalan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) sekali gus meninggalkan era pekerjaan tradisional.
Jelasnya, melalui pendedahan karnival seperti ini para pelajar akan lebih berminat mendalami bidang STEM dan berpotensi melahirkan tenaga mahir profesional yang menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
“Semua orang berkata hal data kerana semua berkenaan digital dan kecerdasan buatan untuk masa depan.
“Program sebegini adalag selari dengan dasar kerajaan kita untuk memberi pendedahan kepada anak-anak kita dan memberi peluang kepada mereka agar betul-betul berminat untuk belajar STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Eksplorasi Pendidikan Stem N8 Satok 2024 Edisi Kedua di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di sini, hari ini.
Kehadiran lebih 2,000 pengunjung termasuk pelajar, ibu bapa dan pelawat ke karnival berkenaan menunjukkan sambutan terhadap bidang STEM semakin menggalakan daripada masyarakat, katanya.
“Ini menjadi petanda yang baik terhadap pembangunan anak-anak muda Sarawak ke arah pembelajaran bidang STEM sebagai pilihan utama aspek pendidikan dan kerjaya bagi mereka,” katanya. – TVS